Bakar mercun hingga dewan terbakar, 2 beradik didakwa

Bakar mercun hingga dewan terbakar, 2 beradik didakwa

Tertuduh, Jesan John Mikela, 19, dan abangnya Steven John Mikela, 24, didakwa melakukan perbuatan itu pada 11 Nov lalu.

gavel
Tertuduh berusia 17 tahun turut didakwa dengan satu pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dua beradik didakwa di dua mahkamah berasingan di Teluk Intan hari ini atas pertuduhan memiliki bahan letupan dan melakukan khianat membakar bunga api sehingga menyebabkan kebakaran di Dewan Arena Square Teluk Intan minggu lalu.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh Jesan John Mikela, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan bunga api dengan mengetahui mungkin dengan jalan itu menyebabkan kerosakan kepada bangunan Dewan Arena Square kepunyaan Majlis Perbandaran Teluk Intan yang digunakan sebagai tempat kegunaan awam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Arena Square Jalan Raja Teluk Intan pada 11.29 malam, 11 Nov lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, abangnya, Steven John Mikela, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mempunyai bahan letupan di lokasi sama dan tarikh sama pada 8.30 malam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagi kedua-dua kes, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal dan Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad manakala tertuduh diwakili peguam Faustina Francis.

Mahkamah turut menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh sebutan kedua-dua kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.