
Aaron Aro Dagang berkata bahasa kebangsaan mengalami evolusi daripada bahasa yang menghubungkan rakyat dalam negara dan dengan dunia luar, kepada simbol perpaduan rakyat pelbagai bangsa, agama dan budaya.
“Kementerian Perpaduan Negara melalui Dasar Perpaduan Negara (DPN) mengangkat bahasa sebagai elemen utama dalam membentuk identiti nasional, merapatkan hubungan antara kaum, dan memperkukuhkan semangat kenegaraan,” katanya, dalam ucapan sempena penutupan simposium evolusi bahasa di Kolej Universiti New Era, Kajang.
Simposium ‘Evolusi Bahasa: Dahulu, Kini, dan Masa Hadapan’ hari ini disifatkan sebagai platform bagi memahami dan menghayati evolusi bahasa serta pengaruhnya dalam membentuk identiti, budaya, dan perpaduan negara.
Dalam ucapannya, Aaron menarik perhatian hadirin kepada perkembangan bahasa Melayu yang memainkan peranan sangat penting dalam mewujudkan identiti masyarakat, sebagai bahasa utama dalam urusan seharian dan untuk menyatukan masyarakat, serta medium dalam dakwah, perdagangan, pendidikan, dan pentadbiran.
“Bahasa Melayu kini menjadi bahasa kebangsaan Malaysia, dan ia simbol perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa, agama dan budaya.
“Namun begitu, kita juga tidak boleh melupakan pentingnya bahasa-bahasa lain yang menjadi bahagian integral daripada kehidupan masyarakat kita, seperti bahasa Cina, Tamil, Iban dan lain-lain, yang mewakili kepelbagaian etnik yang wujud di negara ini,” katanya.
Seiring dengan perkembangan teknologi dan digitalisasi, Aaron berkata bahasa Melayu perlu menjadi lebih dinamik dan fleksibel agar ia dapat digunakan dalam pelbagai platform dan dunia kecerdasan buatan.
Beliau menyeru kepada membina masyarakat celik bahasa kebangsaan, bahasa ibunda, dan bahasa asing yang membuka peluang lebih luas untuk berhubung dengan dunia luar.
“Inilah yang saya panggil sebagai masyarakat ‘multi-linguistic’, yang bukan sahaja tahu bagaimana untuk berkomunikasi, tetapi juga tahu bagaimana untuk menghargai kepelbagaian budaya dan bahasa yang ada di sekeliling,” katanya.
Majlis hari ini turut menyaksikan perasmian Pusat Interaksi Pelbagai Etnik Kolej Universiti New Era, yang berfungsi sebagai ruang untuk menggalakkan interaksi antara pelbagai etnik.
Ia bertujuan memupuk kesedaran silang budaya, memperkenalkan keindahan setiap tradisi, dan membina titik persamaan yang menyatukan rakyat.