Tak rancang henti pemberimilikan tanah sekitar KTB, kata menteri

Tak rancang henti pemberimilikan tanah sekitar KTB, kata menteri

Dr Zaliha Mustafa berkata tinjauan mendapati kekerapan banjir di kawasan berkenaan semakin berkurangan sejak dua tahun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa berkata tiada rekod titik panas banjir kilat di sekitar kolam takungan banjir selepas projek pembangunan diluluskan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak mempunyai perancangan khusus untuk menghentikan pemberimilikan tanah di sekitar kolam takungan banjir (KTB) di Kuala Lumpur kepada pihak swasta buat masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Zaliha Mustafa berkata, ia susulan tiada rekod kawasan titik panas (hotspot) banjir kilat di sekitar sekitar KTB selepas projek pembangunan diluluskan sejak 2018.

“Antara contoh yang saya bawa adalah di sekitar KTB di bawah Parlimen Kepong, contoh lain adalah di Kampung Periuk, Kampung Baru yang sebelum ini merupakan kawasan hotspot banjir.

“Setelah kita membuat binaan ‘On Site Detention’, di situ kekerapan banjir yang berlaku sepanjang dua tahun kebelakangan ini sangat-sangat berkurangan.

“Justeru kerajaan buat masa ini tidak ada perancangan secara khusus untuk menghentikan pemberimilikan tanah di sekitar KTB Kuala Lumpur kepada pihak swasta,” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai pembangunan di sekitar KTB.

Zaliha berkata, kerajaan setakat ini akan terus komited mengutamakan pembangunan di Kuala Lumpur menerusi pendekatan ‘smart growth’ iaitu pembangunan yang pesat tanpa meminggirkan kelestarian nilai estetika sebuah bandar.

“Pembangunan Kuala Lumpur perlu diutamakan supaya limpahannya dirasai oleh warga kota dan aspirasi itu boleh dilihat di negeri-negeri lain,” tambahnya.

Menurut Zaliha, pihaknya memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membuat analisa bagi melihat sama ada terdapat hubungan langsung atau tidak antara jumlah kebenaran merancang yang dikeluarkan dengan jumlah hotspot banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur.

“Hasil analisa akan dibentangkan di dalam Majlis Menteri Wilayah Persekutuan sendiri dan YB Seputeh juga ada dalam majlis tersebut dan kita boleh bincangkan dengan lebih lanjut,” katanya.

Pada Ogos, Teresa menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan projek pembangunan di kawasan berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur berikutan kejadian banjir dan tanah runtuh, khususnya di KTB Kampung Bohol.

Kok yang juga naib pengerusi DAP berkata, pendekatan tersebut perlu diambil terutamanya di kawasan yang rendah serta petempatan di sekitar tempat tadahan air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.