
Isnin lalu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad diarah oleh Mahkamah Rayuan membela diri terhadap tuduhan rasuah dan bersubahat membabitkan pelaburan RM150 juta Felcra.
Romzi Ationg dari Universiti Sabah Malaysia (UMS) berkata, tidak adil untuk mendesak Bung turun tanpa mengambil kira jasanya dalam kelangsungan Umno Sabah yang hampir terkubur apabila ramai pimpinan keluar selepas PRU14.
“Beliau sangat berjasa pada Umno negeri…jadi ketika dia susah dan kes itu belum tentu ada keputusan sepenuhnya, biarlah dia buat kerja,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Bung yang juga Adun Lamag akan terus mengetuai Umno Sabah menjelang PRN dan enggan melayan desakan ‘NGO tidak berwibawa’, merujuk G57 yang memintanya mengundur diri susulan keputusan Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata, kes membabitkan dirinya itu telah berjalan dari 2019, namun tidak mengganggu tugasnya sebagai ketua Umno Sabah selain wakil rakyat Parlimen dan DUN.
Pengaruh Bung masih kuat
Romzi menambah, pengaruh Bung masih diperlukan untuk mengetuai Umno Sabah menjelang PRN dijangka tahun depan, selain terkenal di kawasan pedalaman atau luar bandar, sesuai kekuatan kerusi parti itu.
“Kena ingat Bung masih kuat pengaruhnya, dia bercakap itu sesuai di kampung-kampung. Bila dia di kampung apa saja ayat yang keluar dari mulutnya itu boleh pengaruhi rakyat di luar sana.
“Jadi jangan perkecil kemampuan Bung,” katanya yang tidak menolak mana-mana pemimpin mengetuai Umno Sabah suatu hari nanti, akan dibayangi tokoh itu.
Siapa pengganti Bung?
Mengulas pengganti berpotensi, Romzi berkata pemimpin itu perlulah ‘orang lama’ dan ‘ada hubungan baik dengan Bung’.
Beliau tidak menolak individu paling sesuai selepas Bung adalah Salleh Said Keruak, yang sebelum ini pernah menjadi ketua menteri Sabah, selain menteri komunikasi dan multimedia ketika pentadbiran Najib Razak.
“Saya tak nampak keperluan untuk orang yang terlalu baharu, kita perlukan orang berpengalaman boleh berhubung dengan peringkat atasan.
“Jawatankuasa itu mungkin orang baru tetapi yang ketua sebaiknya orang lama dan berpengalaman yang diperlukan untuk menerajui Umno Sabah,” katanya.
Bilcher Bala juga dari UMS turut senada, kehilangan Bung sebagai tonggak utama Umno Sabah akan melemahkan pengaruh parti nasional itu, selain tidak menolak penyokongnya akan berpindah ke parti tempatan seperti Warisan atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pengunduran Bung akan melemahkan Umno Sabah kerana kehilangan populariti beliau yang sangat lantang menyuarakan kepentingan Sabah di Dewan Rakyat,” katanya.