Na’im haramkan duit hasil penipuan mohon lesen pengendali haji guna namanya

Na’im haramkan duit hasil penipuan mohon lesen pengendali haji guna namanya

Menteri hal ehwal agama berkata ada pihak guna namanya bagi permohonan pengelola jemaah haji baharu.

Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar ingatkan orang ramai supaya berhati-hati memilih pakej haji dan umrah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar mengharamkan sebarang hasil penipuan yang menggunakan namanya bagi mendapatkan lesen pengelola jemaah haji.

Na’im memaklumkan ada dalam kalangan pihak yang bergerak menggunakan namanya bagi permohonan baharu dengan jaminan lesen itu akan lulus.

“Sudahlah memburukkan nama menteri, lepas itu ambil keuntungan atas sasaran orang lain. Bagi mereka yang ambil duit atas nama saya sebagai menteri, saya haram duit itu.

“Setakat dapat RM5,000 hingga RM6,000 guna nama menteri hendak menyakinkan syarikat ini, tidak bawa ke mana dan hancur hidup kita,” katanya dalam ucapan pada majlis pelantikan 37 syarikat pengelola jemaah haji.

Dalam majlis hari ini sebanyak 12 syarikat baharu diberikan lesen pengelola jemaah haji manakala 25 syarikat diteruskan lantikan.

Mengulas lanjut, Na’im berkata sekiranya perkara itu berlaku, syarikat yang berjaya mendapatkan lesen namun diminta bayaran oleh pihak tersebut perlu menuntut semula wang mereka.

Sementara itu, Na’im mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan memilih pakej haji melalui syarikat yang dilesenkan oleh Tabung Haji.

Pihaknya akan terus memantau dan menangani isu penipuan pakej haji dan umrah yang sering menjadi isu hangat setiap tahun.

“Penipuan ini mengakibatkan ramai bakal haji kehilangan wang simpanan mereka dan ada yang juga terkandas di lapangan terbang.

“Terdapat juga kes di mana jemaah haji menunaikan haji dalam keadaan ketakutan kerana menggunakan visa pelancong yang jelas menyalahi peraturan Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Tambahnya lagi, mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan tidak mempunyai permit yang sah untuk menunaikan haji boleh dikenakan denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.