Malaysia kesal UNSC gagal lulus resolusi gencatan senjata di Gaza

Malaysia kesal UNSC gagal lulus resolusi gencatan senjata di Gaza

Amerika Syarikat memveto resolusi UNSC bagi gencatan senjata di Gaza walaupun resolusi mendapat sokongan majoriti anggota.

LEBANON PALESTINE ISRAEL
Malaysia menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian aman dan berkekalan dalam isu Palestin. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Malaysia amat kecewa kegagalan sekali lagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menerima pakai resolusi mengenakan gencatan senjata dan memudah cara penyaluran segera perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, resolusi itu yang mendapat sokongan majoriti anggota UNSC itu telah digagalkan melalui penggunaan kuasa veto pada 20 Nov, sekali gus menghalang usaha antarabangsa menangani krisis sedang berlaku di Gaza.

“Penggunaan kuasa veto ini mematahkan harapan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan jenayah genosid di Gaza dan menjejaskan usaha berterusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menggesa agar UNSC mengambil tindakan tegas menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza dan melaksana peranan utamanya mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kenyataan itu turut menegaskan keperluan badan dunia itu untuk mempertahankan prinsip asas termaktub dalam Piagam PBB dan melindungi kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Mengulangi solidariti teguh dengan Palestin, Malaysia menyatakan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian aman dan berkekalan dalam isu Palestin.

Pada Rabu, Amerika Syarikat (AS) memveto resolusi UNSC bagi gencatan senjata di Gaza — kali keempat pentadbiran Joe Biden menyekat resolusi gencatan senjata sejak Oktober lalu, menurut laporan antarabangsa.

Majlis yang terdiri daripada 15 anggota itu telah mengundi resolusi yang dicadangkan oleh 10 anggota tidak tetap, yang menyeru kepada “gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan” dalam konflik 13 bulan serta secara berasingan menuntut pembebasan tahanan.

Konflik semasa bermula pada 7 Okt tahun lalu apabila Israel menyerang Gaza, menyebabkan perpindahan besar-besaran penduduk Palestin dan dilaporkan mengorbankan lebih 45,000 nyawa rakyat Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.