Hassan dihadapkan ke Lembaga Disiplin PKR

Hassan dihadapkan ke Lembaga Disiplin PKR

Sumber memberitahu Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim didakwa merosakkan imej parti kerana kritikan terhadap penganugerahan rangkaian 5G kedua negara.

hassan karim
Hassan Karim dilihat pengkritik pentadbiran Anwar Ibrahim yang lantang.
PETALING JAYA:
Hassan Karim, ahli veteran PKR yang lantang bersuara dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti hari ini.

Sumber berkata Ahli Parlimen Pasir Gudang berkenaan didakwa merosakkan imej parti kerana kenyataan terbukanya mengkritik kerajaan dalam penganugerahan rangkaian 5G kedua negara.

Sumber enggan dikenali itu memberitahu bekas ketua PKR Johor itu juga dituduh parti kerana menghina Yang di-Pertuan Agong.

Hassan antara individu yang mengkritik keras kerajaan susulan keputusan memberikan penganugerahan rangkaian 5G kedua negara kepada U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).

Dalam perkongsian di laman media sosialnya, Hassan berkata keputusan tersebut seolah-olah mengulangi ‘kesilapan’ era pentadbiran terdahulu, khususnya di zaman Dr Mahathir Mohamad.

Hassan sebelum ini memberitahu FMT, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi restu dan memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk menulis apa sahaja kecuali jangan mengkritik raja.

Awal tahun ini, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil memberi ‘teguran keras’ kepada Ahli Parlimen dua penggal dan bekas ketua PKR Johor itu supaya berhenti campur tangan dalam hal ehwal dalaman parti sekutu PH.

Kenyataan itu susulan tindakan Hassan menggesa Umno menggantikan presidennya, Zahid Hamidi, bagi mendapatkan semula keyakinan pengundi Melayu terhadap parti itu.

Hassan dilihat sebagai pengkritik pentadbiran Anwar yang lantang. Terbaharu, beliau menyuarakan rasa hairan apabila ucapan Belanjawan 2025 menyentuh soalan penahanan di rumah.

Perkembangan ini ketika bekas perdana menteri Najib Razak sedang mencari jalan perundangan untuk menguatkuasakan apa yang dikatakan ‘adendum’ yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.