
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, berkata semua mangsa yang maut menaiki Perodua Alza, manakala pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederaan.
“Sebaik menerima panggilan pada 3.40 petang, pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba Sarikei dengan kekuatan sembilan anggota dan jentera digerakkan ke lokasi.
“Terdapat dua mangsa menaiki pacuan empat roda telah dikeluarkan oleh orang awam dan diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya menurut Bernama.
Jurucakap itu berkata, dua mangsa tercampak keluar daripada Perodua Alza, manakala enam lagi tersepit dalam kenderaan dan semuanya disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Sarikei Aswandy Anis, berkata kemalangan kira-kira 2.50 petang itu berlaku ketika pemandu Perodua Alza lari daripada pemeriksaan sebuah kereta peronda polis.
Beliau berkata, kenderaan terbabit yang dipandu warga tempatan dengan tujuh penumpang warga Indonesia telah memasuki laluan bertentangan bermula di lencongan Simpang Bulat.
“Apabila tiba di Jambatan Sungai Nyelong, Lebuhraya Pan Borneo, kenderaan itu yang dikejar peronda MPV itu bertembung dengan sebuah Hilux yang dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita.
“Akibat kemalangan ini semua pemandu dan penumpang Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Sarikei manakala pemandu dan penumpang Hilux mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Aswandy berkata, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi pegawai penyiasat trafik Ahmad Mustaqim Idris menerusi talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.