
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, berkata semua kanak-kanak itu telah diberikan bantuan asas psikologi iaitu Psychological First Aid (PFA), berupa sistem sokongan psikososial awal dan praktikal dalam situasi krisis.
“PFA bukannya sesi kaunseling atau intervensi psikiatri, tetapi merupakan pendekatan psikologi berasaskan kepada membina harapan positif serta memberi ruang kepada kanak-kanak agar rasa difahami dan didengari,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Pada September, polis menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak antara setahun hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi di rumah amal terkait GISBH. Serbuan mendedahkan dakwaan pengabaian dan penderaan.
Beberapa pimpinan tertinggi GISBH antara 58 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), manakala ketua pegawai eksekutifnya, Nasiruddin Ali, dan 20 lain dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.