
Timbalan Menteri Fuziah Salleh berkata beliau sendiri berjumpa persatuan itu.
“Kalau tak ada jumpa itu mungkin dengan kementerian lain. Tetapi dengan KPDN saya sendiri jumpa, saya sendiri sahkan ada jumpa,” katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2025 peringkat kementerian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Bumipeda, Hanny Julia Haron, berkata tiada sebarang sesi libat urus atau rundingan setakat ini antara kerajaan dan pihaknya atau wakil pengusaha stesen minyak berhubung pelaksanaan mekanisme penggunaan MyKad dan e-dompet bagi pembelian RON95.
Hanny berkata, kerajaan sepatutnya mengadakan perbincangan bersama ekoran pihaknya adalah pemegang taruh utama yang akan berdepan langsung dengan rakyat dalam pelaksanaan dicadangkan.
Sementara itu, Fuziah berkata dalam sesi libat urus KPDN bersama Bumipeda beliau meminta pihaknya berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung perkara dibangkitkan persatuan berkenaan.
“Kita ambil berat apa dibangkitkan persatuan tersebut. Saya sendiri dengar ambil maklum,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 secara berperingkat pada pertengahan tahun depan dengan penjimatan daripadanya digunakan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Beliau berkata, 85% rakyat akan terus mendapat manfaat daripada subsidi kerajaan untuk 2025 yang dianggarkan berjumlah RM12 bilion.