Kakitangan AeroDarat tumbuk warga asing digantung tugas, kata Loke

Kakitangan AeroDarat tumbuk warga asing digantung tugas, kata Loke

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata sebagai kakitangan di lapangan terbang, lelaki terbabit seharusnya bersikap profesional pada setiap masa.

saringan klia
Lelaki yang didakwa menumbuk warga asing yang dikenakan Notis Penolakan Masuk di KLIA bukan pekerja MAHB, menurut Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki yang didakwa menumbuk warga asing yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah digantung tugas, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Pada sidang media di Parlimen, beliau memberitahu bahawa lelaki bukan kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), sebaliknya adalah pekerja AeroDarat Services Sdn Bhd.

Menurutnya, AeroDarat ialah syarikat yang terlibat sebagai pengendali darat untuk Malaysia Aviation Group, yang merupakan syarikat induk Malaysia Airlines.

Katanya, syarikat penerbangan ditugaskan menghantar semula pelancong yang diberikan notis NTL kembali ke tempat penerbangan terakhir mereka, yang merupakan prosedur standard di semua lapangan terbang antarabangsa.

“Kakitangan itu memberitahu penumpang itu melakukan provokasi. Kita faham bahawa pelancong kadang-kadang boleh bersikap kurang ajar, tetapi apa pun, kita tidak boleh mempertahankan tindakan kakitangan,” tambah Loke.

“Dia berkhidmat sebagai kakitangan di salah satu lapangan terbang kita, (jadi) dia perlu bertindak secara profesional pada setiap masa. Dia telah dikeluarkan surat tunjuk sebab dan telah digantung sementara menunggu siasatan yang sedang dijalankan.”

Malaysiakini sebelum itu melaporkan seorang pegawai dilihat menumbuk muka seorang warga asing di KLIA dalam rakaman video tiga saat yang dipercayai diambil pada 11 Nov lalu.

Jabatan Imigresen boleh mengeluarkan NTL kepada pelancong jika mereka mempunyai rekod jenayah atau gagal menunjukkan dokumen penting seperti visa, tiket pergi balik, bukti penginapan atau sumber kewangan untuk menyara diri sepanjang penginapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.