
Wong berkata gesaan Presiden Gerakan Dominic Lau itu bertujuan menyampaikan realiti sebenar iaitu PN memerlukan sokongan semua lapisan masyarakat termasuk pengundi bukan Melayu untuk menjadi gabungan kuat dan relevan.
“Beliau bukannya berniat menyerang mana-mana pihak atau parti komponen,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, FMT melaporkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tiada keperluan bagi PN mewujudkan deklarasi untuk bukan Melayu yang dicadangkan Lau pada persidangan Gerakan ke-52, Ahad lalu.
Menurutnya, Gerakan tidak perlu takut akan bayang-bayang sendiri dan menyalahkan PAS kerana tidak dapat sokongan masyarakat Cina.
Lau ketika membuat gesaan itu dipetik berkata ketika ini ada bukan Melayu dan Islam bimbang dan takut terhadap PAS yang menjadi blok parti Melayu terbesar dalam PN serta mempunyai bilangan kerusi terbanyak di Parlimen.
Malah katanya, kumpulan itu juga ‘fobia’ mengenai dasar dan matlamat PAS menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.
Mengulas lanjut, Wong yang juga Adun Kulim berkata deklarasi dicadangkan itu hanya seruan untuk memperkukuh asas PN sebagai sebuah gabungan inklusif tanpa perlu bergantung kepada sokongan satu kaum atau agama sahaja.
“Ia langkah strategik untuk memastikan PN mampu menarik sokongan golongan kecewa dengan kerajaan tetapi masih ragu-ragu terhadap PN.
“Apa yang presiden parti nyatakan adalah untuk membina jalan tengah, bukan untuk mencetuskan perpecahan,” katanya.