4 penguat kuasa disyaki minta, terima rasuah direman

4 penguat kuasa disyaki minta, terima rasuah direman

Mereka direman empat hari selepas ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan semalam.

sprm
Menurut sumber SPRM, keempat-empat suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 12 Nov lalu di Lebuhraya PLUS berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Seremban. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Empat penguat kuasa direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah untuk tidak mengambil tindakan kesalahan cukai jalan dan permit Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tamat tempoh.

Perintah reman sehingga 24 Nov itu dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Menurut sumber, semua suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu telah ditahan kira-kira 5 hingga 6 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan meminta dan menerima rasuah pada 12 November lalu di Lebuhraya PLUS berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Seremban.

“Salah seorang suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik seorang individu lain (pihak ketiga) berjumlah RM1,000,” katanya, menurut Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.