
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, hasil semakan mendapati premis terbabit pernah memohon sijil halal pada 2021, tetapi tidak lulus.
Serbuan dilakukan pada 12.30 tengah hari semalam, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik).
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempamerkan logo halal tanpa sijil sah dan kesalahan itu melanggar Perintah 8 (a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Turut dirampas salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) serta dua unit banting pelekat tertera logo halal dan dua unit papan tanda kedai menjadikan nilai rampasan RM150,” katanya menurut Harian Metro.
Azman berkata, jika sabit kesalahan, denda yang dikenakan tidak melebihi RM200,000 bagi pertubuhan atau perbadanan manakala untuk kesalahan kedua atau berikutnya, tidak melebihi RM500,000.
“Jika bukan pertubuhan atau perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.