
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya menolak amaran Adun GPS Hamzah Brahim bahawa perkara itu boleh menjadi ‘punca kejatuhan’ kerajaan perpaduan dan menyifatkannya bersifat populis.

James Chin dari Universiti Tasmania pula berpendapat bahawa rakan seperjuangan Hamzah dalam GPS mungkin tidak berkongsi pandangan yang sama.
Pada 14 Nov, Hamzah mengkritik Petronas kerana didakwa bersikap ‘berdolak-dalih’ dalam memuktamadkan perjanjian pengagihan gas yang akan menjadikan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai aggregator gas tunggal di negeri itu.
Beliau turut memberi amaran kepada Putrajaya untuk tidak membenarkan ‘keangkuhan dan kedegilan’ Petronas menjadi punca kejatuhan kerajaan Madani.
Awang Azman berkata ketika ini wakil dari Sarawak, Petronas, dan kerajaan persekutuan sedang berunding untuk mencari penyelesaian berhubung isu itu.
“Seorang wakil rasmi yang profesional tidak akan melabel pihak lain dengan istilah seperti ‘angkuh’ dan ‘tamak’,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, meskipun wajar bagi Sarawak untuk memperkukuh hak terhadap minyak dan gas melalui Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan mencabar undang-undang persekutuan, GPS tidak mahu merosakkan hubungan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“GPS secara tradisionalnya bersikap pragmatik dan menggunakan pengaruhnya dalam politik persekutuan untuk memperjuangkan kepentingan Sarawak,” tambahnya.
Di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, Petronas memiliki hak milik ke atas semua minyak dan gas di seluruh negara, termasuk di Sarawak.
Namun, kerajaan Sarawak baru-baru ini berusaha untuk mendapatkan kawalan lebih besar terhadap sumber-sumber di dalam negeri menerusi Petros.
Pada Julai, Sarawak mengumumkan hasrat agar Petros mengambil alih urusan pembelian dan penjualan gas di negeri itu serta memberikan tempoh tiga bulan kepada Petronas untuk menyelesaikan semua isu pengagihan gas dengan syarikat minyak milik negeri tersebut.
Pada 31 Okt, Premier Sarawak Abang Johari Openg menyatakan bahawa pertikaian itu telah diselesaikan, dengan Petronas bersetuju secara prinsip untuk membenarkan Petros menjadi agregator tunggal gas bagi Sarawak.
Bagaimanapun, Petronas mempertikaikan kenyataan itu dengan menyatakan bahawa perbincangan masih berjalan.

Chin berkata, sekiranya Petronas gagal menyelesaikan isu itu, Abang Johari perlu berbincang dengan Anwar kerana Petronas melapor terus kepada perdana menteri.
Beliau menambah, Petronas berada dalam kedudukan yang lemah jika perkara ini dibawa ke mahkamah kerana hak Sarawak terhadap sumber itu dilindungi oleh OMO.
“Ini memberikan Sarawak keupayaan untuk berunding dengan Petronas,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Jayum Jawan dari Universiti Malaysia Sarawak, berkata berdasarkan sejarah hubungan antara kedua-dua pihak, GPS tidak mungkin keluar dari kerajaan perpaduan walaupun Petronas tidak mengalah.
Beliau berkata kerajaan Sarawak telah menjadi rakan kepada kerajaan persekutuan sejak 1963 dan wakilnya di peringkat persekutuan tidak berpengalaman sebagai pembangkang.
“Pemimpinnya akan menghadapi kesukaran untuk memutuskan hubungan dengan kerajaan persekutuan pada masa ini,” katanya.