
Menteri pertanian dan keterjaminan makanan itu berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama sambil mengingatkan mana-mana pihak agar tidak saling tuduh-menuduh.
“SPRM dah masuk dan kita tak mahu tuduh sesiapa, bekas menteri, timbalan menteri atau menteri sekarang.
“Jangan tuduh-menuduh, SPRM akan siasat dan kita beri kerjasama,” katanya di Dewan Rakyat.
Mohamad berkata demikian menjawab Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang menuntut penjelasan berkaitan kontroversi yang berlaku dalam Nafas dan hala tuju kementerian dalam menstruktur semula badan itu.
Perlembagaan Nafas digantung mulai 1 Nov lepas dengan arahan dikeluarkan bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan operasi serta fungsinya.
Seminggu selepas itu, bekas ketua pengarah perkhidmatan awam Zainal Rahim Seman dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat Nafas.
Sementara itu, Mohamad berkata, Nafas telah diberikan kontrak pembekalan baja secara runding terus sejak 1979.
Katanya, audit khas pada 2018 mendapati Nafas mempunyai 42 isu tadbir urus dan tatakelola, namun tindakan penambahbaikan tidak dapat dilaksanakan akibat peralihan kerajaan pada ketika itu.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, beliau mengambil langkah awal mewartakan Nafas sebagai badan awam bawah Akta SPRM 2009 pada 22 Mei tahun lepas, supaya siasatan boleh dimulakan.
“Sebelum ini SPRM tak boleh siasat Nafas tapi saya wartakan (bawah Akta SPRM 2009), jadi SPRM boleh (siasat) pada bila-bila masa,” katanya.