
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dengan menyertai Pakatan Global ini: “Malaysia menegaskan komitmennya untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 dalam memerangi kebuluran dan kemiskinan, serta memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.
“Kerajaan Malaysia telah membuat kemajuan yang signifikan melalui Kerangka Ekonomi Madani, bagi memperbaiki kesejahteraan hidup rakyat.
“Tumpuan kami merangkumi pengukuhan struktur tadbir urus, memastikan kemampanan fiskal, meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, memajukan transformasi digital, dan komitmen terhadap tindakan iklim,” katanya dalam sesi pertama Fight Against Hunger and Poverty pada Sidang Kemuncak G20 di sini, pada Isnin.
Anwar, yang juga menteri kewangan berkata selaku pengerusi Asean 2025, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam usaha membina kapasiti, dengan fokus meningkatkan daya tahan, mengurangkan kemiskinan, dan memperbaiki tadbir urus di seluruh rantau ini.
“Perjuangan membasmi kebuluran dan kemiskinan secara langsung memberi kesan kepada pembangunan manusia.
“Akhirnya, komitmen bersama terhadap matlamat ini akan membawa kepada dunia di mana kebuluran dan kemiskinan dapat dihapuskan dan semua orang dapat berkembang,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Pakatan Global ini memerlukan komitmen politik yang kukuh dan tindakan bersama untuk menamatkan dasar-dasar yang salah jika kita benar-benar serius dalam menghapuskan kebuluran dan kemiskinan secara berkesan.
“Dalam hal ini, kejayaan China dalam membasmi kemiskinan sangat wajar dicontohi, dengan mengambil kira keperluan sosialekonomi khusus setiap negara terbabit,” katanya.
Malaysia, bersama 16 negara lain termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam, adalah negara tetamu sidang Kemuncak G20.
Kali terakhir Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak G20 adalah pada 2015 di Turki sebagai pengerusi Asean ketika itu.
Anwar diiringi Menteri Luar Mohamad Hasan, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.