Mahkamah cadang kes saman Dr M-Anwar secara mediasi

Mahkamah cadang kes saman Dr M-Anwar secara mediasi

Peguam Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim berkata mereka akan mendapatkan arahan mengenai cadangan itu.

mahathir-mohamad-anwar-ibrahim
Dr Mahathir Mohamad menyaman Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang dibuatnya pada kongres PKR tahun lepas.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi di sini mencadangkan kes saman dikemukakan Dr Mahathir Mohamad terhadap Anwar Ibrahim diselesaikan menerusi mediasi.

Peguam Rafique Rashid Ali, mewakili bekas perdana menteri itu, berkata pesuruhjaya kehakiman Zaharah Hussain mencadangkan perkara itu ketika ia dibangkitkan untuk pengurusan kes hari ini.

“Pasukan peguam kedua-dua pihak memberitahu mahkamah mereka akan mendapatkan arahan anak guam mereka mengenai cadangan mediasi,” katanya kepada FMT.

Mahkamah kemudian menetapkan perkara itu untuk pengurusan kes lanjut pada 6 Jan tahun depan.

Anwar diwakili oleh Phoebe Loi.

Zaharah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen perbicaraan mereka sebelum tarikh pengurusan kes seterusnya.

Mahathir menyaman Anwar atas kenyataan yang dibuat pada kongres PKR pada 18 Mac 2023, yang didakwa merujuk kepadanya seorang yang bersifat perkauman dan mendakwa bahawa dia telah memperkayakan keluarganya semasa memegang jawatan.

Dalam tuntutan mahkamahnya, beliau mendakwa bahawa kenyataan itu dibuat oleh Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan, oleh itu, mempunyai kesan yang jauh lebih dahsyat ke atasnya daripada kenyataan serupa yang dibuat oleh rakyat biasa.

Beliau berkata dakwaan itu telah menjejaskan statusnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.

Mahathir mahu Anwar menarik balik semua kenyataan didakwa berunsur fitnah yang dibuat mengenainya dan disiarkan di media arus perdana dan media sosial.

Beliau berkata kenyataan Anwar yang didakwa berunsur fitnah bertujuan menjejaskan imejnya di mata masyarakat kerana ia dilihat dan didengari dalam spektrum yang luas.

Beliau juga mahu Anwar memohon maaf tanpa syarat dan berjanji untuk tidak mengulangi kenyataan yang sama atau serupa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.