Hati-hati keluar kenyataan naik harga makanan restoran mamak, kata Armizan

Hati-hati keluar kenyataan naik harga makanan restoran mamak, kata Armizan

Armizan Mohd Ali berkata pihaknya tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan daripada kenaikan gaji minimum dan penjawat awam.

Sebelum ini timbul isu kenaikan harga di restoran mamak di Johor dicadangkan Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali menasihati Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor berhati-hati mengeluarkan kenyataan untuk menaikkan harga makanan.

Armizan berkata beliau tidak mahu mana-mana pihak termasuk pemilik restoran dianggap mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan susulan daripada pengumuman kerajaan menaikkan gaji minimum dan penjawat awam.

“Selepas perjumpaan pada 14 Nov lalu, mereka (pengusaha restoran) beri komitmen tidak akan naikkan harga seperti mana diumumkan dan mengulangi akan berhati-hati (mengeluarkan) sebarang kenyataan.

Armizan Mohd Ali.

“Kalau (umum), naik harga (lagi) kita akan panggil terus. Kita faham kemungkinan ada keperluan untuk naik (harga) tetapi mestilah tidak bertentangan dengan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Penutup Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa peringkat Kebangsaan 2024.

Pada 14 Nov lalu, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berkata tiada kenaikan harga makanan 5% di semua restoran mamak tahun depan termasuk di Johor.

Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan, berkata demikian selepas pertemuan dengan KPDN pada minggu lalu.

Katanya, laporan media memetik Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Johor, Hussien Ibrahim, sebelum ini disalah petik, justeru menimbulkan salah faham.

Sebelum ini, media melaporkan 300 restoran mamak di Johor dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula 5% mulai tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata Program Jualan Rahmah Madani akan diperluaskan di semua institusi pengajian tinggi bermula pada Januari tahun hadapan.

Beliau berkata bagaimanapun pelaksanaan program itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

Menurutnya, sebelum hujung tahun ini akan diputuskan dari segi mekanisme penjualan seperti harga dan jenis barang yang akan dijual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.