
Beliau berkata, orang ramai harus mengelak mendapatkan maklumat dari media sosial yang tidak dijamin tepat.
Fahmi bagaimanapun menegaskan pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut kerana ia melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
“Perlu berhati hati dengan sebarang maklumat yang kita terima melalui media sosial (kerana) bukan semua yang kita baca itu tepat. Kadang-kadang (maklumat itu dikongsi) atas sebab yang hanya diketahui oleh pihak yang (berkongsi maklumat itu).
“Mungkin (mereka) ada niat tersendiri, tapi kita akan teliti perkara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Menara KWSP, Shah Alam.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) berhubung desakan agar kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Saya akan berhubung dengan pihak NUJ, CIJ dan Geramm untuk cuma memahamkan dulu sebab isu ini hanya (berbangkit) melalui laporan media sebelum ini,” katanya.
“Walaupun draf itu bukan bawah jagaan Kementerian Komunikasi, tapi saya sedia mendengar pandangan daripada rakan-rakan media dan akan cuba untuk sampaikan.”
Terdahulu, NUJM, CIJ dan Geramm menuntut penjelasan berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berikutan desas-desus bahawa syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketat bawah pindaan itu.
Kumpulan-kumpulan itu berkata, mereka memandang serius perkembangan tersebut kerana ia dikhuatiri memberi impak besar kepada organisasi dan petugas media serta menggugat kebebasan media di Malaysia.
Dalam sidang media sama, Fahmi turut memaklumkan pihak kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 50% daripada 70,000 penggiat seni akan mencarum KWSP dalam tempoh dua tahun, berbanding jumlah semasa hanya sekitar 6%.