
Laporan berkenaan Kajian Impak AI, Digital, dan Ekonomi Hijau ke Atas Tenaga Kerja Malaysia yang dikeluarkan hari ini, mendapati 620,000 kerja – atau 18% daripada 3.5 juta pekerja – dijangka berdepan impak tinggi dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang oleh AI, pendigitalan, dan ekonomi hijau.
Kajian juga menunjukkan majikan semakin berkehendak bakat dengan kemahiran khusus AI, digital, dan ekonomi hijau, yang kini penting merentasi pelbagai peranan, termasuk jawatan bukan teknikal.
“Teknologi boleh menggantikan pekerjaan, namun ia juga boleh mewujudkan peluang kerja baharu,” kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada pelancaran laporan itu.
“Rangka tindak (blueprint) hari ini adalah pemetaan pekerjaan masa depan, di mana penggubal undang-undang mendapat gambaran perkara akan datang supaya mereka bersedia membentuk semula industri sewajarnya.”
Sim berkata, kementerian sedang berusaha membantu menggerakkan 620,000 pekerjaan yang menerima impak tinggi kepada peranan lain atau merentas sektor menerusi peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dikenal pasti dalam MyMAHIR, portal direka bentuk membantu pekerja menilai dan meningkatkan kemahiran mereka.
Kajian itu turut meneliti bagaimana AI, pendigitalan, dan ekonomi hijau membentuk semula industri. Ia juga mengenal pasti peranan kemunculan kerja baharu dan menentukan kemahiran penting bagi masa depan tenaga kerja Malaysia.
Kajian juga menumpukan kepada 10 sektor utama – aeroangkasa, kimia, elektrik & elektronik, tenaga & kuasa, pembuatan & perkhidmatan makanan, perkhidmatan perniagaan global, ICT, peranti perubatan, pembuatan farmaseutikal dan perdagangan borong & runcit.
Keseluruhannya, 10 sektor terlibat menyumbang RM933 bilion atau 60% Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2023.
Antara syor kajian berkenaan adalah kerajaan menyediakan sokongan kewangan kepada pekerja untuk peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, dan industri menyediakan program latihan dan pembangunan dalaman mengenai trend teknologi terkini.
Ia juga mengesyorkan agar kurikulum pendidikan diperbaharui untuk memasukkan AI, digital, dan kemampanan dalam sukatan pelajaran.
Turut hadir pada pelancaran itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Azman Yusoff, dan Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar, Pengerusi TalentCorp Wong Shu Qi, dan Ketua Pegawai Kumpulan Thomas Mathew.
Dalam ucapan pembukaan, Mathew berkata, agensinya secara produktif berusaha menangani isu digariskan dalam laporan berkenaan.
“TalentCorp bekerjasama rapat dengan pemegang taruh industri demi memastikan tenaga kerja Malaysia kekal dalam penyesuaian,” katanya.
“Menerusi MyMAHIR dan inisiatif kami yang lain, kami sedang menangani keperluan segera dan jangka panjang (dengan) melengkapkan rakyat Malaysia kemahiran penting kepada daya saing ekonomi dan global kita.”