
Beliau berkata, ia merupakan pendirian jelas dan konsisten parti itu sejak awal.
“Presiden Warisan, Shafie Apdal berulang kali menegaskan jika Warisan perlu membuat pilihan, keutamaan kami adalah bekerjasama dengan parti tempatan Sabah,” katanya dalam kenyataan.
“Namun, ini hanya akan berlaku jika ada parti tempatan yang berani dan tegas memastikan paksi kuasa dikembalikan sepenuhnya kepada parti tempatan Sabah, tanpa tunduk atau dikawal oleh parti nasional atau individu berkepentingan.
“Sekiranya tiada parti tempatan yang berani mengambil pendirian ini, Warisan tidak gentar bertanding secara solo pada PRN Sabah ke-17. Kami akan menyediakan platform dan pilihan kepada rakyat Sabah untuk memastikan Sabah ditadbir sepenuhnya parti tempatan tanpa campur tangan atau kawalan pemimpin Semenanjung.”
Beliau berkata, kenyataan itu bagi membetulkan laporan disifatkannya mengelirukan oleh sebuah akhbar yang memetiknya berkata: “Warisan perlu bergabung dengan parti-parti dari Semenanjung”.
Menurutnya, kerjasama dengan parti Semenanjung yang dimaksudkannya membabitkan pentadbiran di peringkat persekutuan, bukannya PRN Sabah.
“Apa yang saya maksudkan mengenai kerjasama itu adalah di peringkat nasional, seperti yang berlaku di Sarawak. GPS (Gabungan Parti Sarawak) sebahagian daripada kerajaan persekutuan, namun Pakatan Harapan (PH) merupakan pembangkang di Sarawak.
“Hari ini, Warisan juga sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan. Oleh itu, tiada isu kerjasama politik dengan parti nasional di peringkat persekutuan, namun di peringkat Sabah, pendirian Warisan sangat jelas.”
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Warisan mengesahkan berlaku pertemuan tidak rasmi dengan beberapa pemimpin parti tempatan, PH dan Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan soal kerjasama serta persiapan menghadapi PRN Sabah.
Akhbar itu memetik Azis sebagai berkata, langkah itu diambil kerana Warisan secara dasarnya tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama politik dengan pelbagai pihak, khususnya BN dan PH.