Sarawak, MAG meterai perjanjian MASwings 31 Dis

Sarawak, MAG meterai perjanjian MASwings 31 Dis

Pemindahan pemilikan syarikat penerbangan itu akan mengambil masa enam hingga sembilan bulan, selepas perjanjian dimeterai.

pesawat maswings
Pengambilalihan MASwings langkah pertama ke arah syarikat penerbangan serantau yang akan memudahkan perjalanan antara Sarawak dan Semenanjung, selain membolehkan pelawat wilayah lain terbang ke negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) akan menandatangani perjanjian jual beli untuk pengambilalihan anak syarikat MAG, MASwings pada 31 Dis ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Lee Kim Shin, berkata Sarawak dan MAG bersetuju dengan syarat perjanjian itu.

Menurutnya, pemindahan hak milik MASwings akan mengambil masa enam hingga sembilan bulan selepas perjanjian itu dimeterai.

“Semasa peralihan ini, MASwings akan terus mengendalikan perkhidmatan udara luar bandar sambil mendapatkan lesen serta kelulusan diperlukan daripada Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam untuk berkembang ke peringkat antarabangsa,” katanya menurut The Borneo Post.

Putrajaya sebelum ini bersetuju melanjutkan subsidi RM209 juta untuk perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak selama setahun lagi, walaupun MASwings sudah diambil alih.

Selepas pengambilalihan selesai, kerajaan merancang berunding perjanjian jangka panjang untuk perkhidmatan udara luar bandar.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, syarikat penerbangan milik kerajaan itu akan memudahkan perjalanan rakyatnya antara negeri berkenaan dan Semenanjung, sambil mempromosi pelancongan dengan membenarkan pelawat wilayah lain mengunjungi Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.