Pengurus rugi RM940,000 terperdaya pelaburan dalam WhatsApp

Pengurus rugi RM940,000 terperdaya pelaburan dalam WhatsApp

Ketua Polis Johor M Kumar berkata wanita berusia 53 tahun itu diperdaya selepas dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp pelaburan hotel.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata mangsa sedar dia ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan bagi membolehkan keuntungan RM600,000 daripada pelaburan itu dikeluarkan.
JOHOR BAHRU:
Seorang pengurus kilang mengalami kerugian RM943,250 selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan dalam talian, pada Mei lepas.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata wanita berusia 53 tahun itu dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang menawarkan pelaburan dalam bidang perhotelan dan menjanjikan kadar pulangan tinggi serta mudah dalam jangka masa singkat oleh individu tidak dikenali.

Beliau berkata tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa membuat pembayaran secara pindahan dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM943,250 untuk dilaburkan, pada September hingga Oktober lepas.

“Setelah bayaran dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburannya mencatatkan keuntungan berjumlah RM600,000 namun dia dikehendaki membuat bayaran tambahan bagi membolehkan wang keuntungan itu dikeluarkan.

“Bagaimanapun, mangsa enggan membuat bayaran tambahan seperti diminta dan percaya dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis pada Sabtu lepas dengan kerugian dialami berjumlah RM943,250,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian dengan pulangan tinggi pada masa singkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.