Lantik pakar tangani antisawit Malaysia, kerajaan diberitahu

Lantik pakar tangani antisawit Malaysia, kerajaan diberitahu

Pakar dicadangkan itu juga boleh membantu syarikat tempatan di Eropah untuk membeli minyak sawit Malaysia.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mahu kerajaan lantik pakar bukannya penjawat awam biasa untuk tangani kempen antisawit Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan digesa melantik pakar sebagai jurucakap untuk memberi penerangan dan mempromosikan manfaat minyak sawit tempatan ketika negara berdepan serangan kempen memboikot bahan komoditi itu oleh Kesatuan Eropah (EU).

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata, jurucakap itu juga boleh membantu syarikat tempatan di Eropah untuk membeli minyak sawit Malaysia.

“Mereka juga akan beri penerangan, membentangkan kertas kerja di seminar-seminar di Eropah.

“Bukan hanya hantar penjawat awam biasa tapi hantar pakar,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Mengenai penutupan pejabat serantau Eropah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Brussels, Belgium, Kok menggesa kerajaan menimbang semula keputusan itu supaya kempen antisawit dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Foong Hin berkata penutupan dibuat selepas kajian mendalam terhadap keperluan operasi dan keberkesanan pejabat tersebut dalam mencapai objektif minyak sawit Malaysia di luar negara.

“Walaupun pejabat di Brussel telah ditutup, untuk tangani minyak sawit di EU tetap diteruskan dengan pendekatan strategik dengan usaha promosi di platform antarabangsa dengan lebih meluas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.