
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau menerima memorandum daripada NGO Selasa lalu menuntut pembaharuan ke atas akta itu.
“Akta Kebajikan Haiwan mengikat majlis daerah dan sebagainya dari segi tindakan walaupun mereka mempunyai undang-undang kecil, tapi disebabkan ia diluluskan di Parlimen, maka ia lebih tinggi daripada undang-undang kecil.
“Saya berharap pihak majlis tidak menjadikan alasan ini untuk menembak haiwan sesuka hati tanpa sebab munasabah yang dibenarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Menurutnya, PBT dan NGO perlu bekerjasama untuk menjaga serta menyediakan tempat perlindungan haiwan terbiar.
Sementara itu, Ismail mempersoalkan kemampuan DVS menguatkuasakan akta itu susulan lebih 7,600 aduan penderaan haiwan diterima sejak 2021.
“Kes dari Selangor saja sudah mencecah 3,334. Setakat ini, berapa ramai daripada DVS yang dilantik untuk menguatkuasakan akta ini dari segi mengambil tindakan dan pemantauan.
“Jika DVS tiada kemampuan, saya berharap kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatankuasa khusus memantau penganiayaan haiwan atau menyerahkan kepada pihak berkuasa lain.”
Minggu lalu, 34 kumpulan kebajikan haiwan menyerahkan memorandum kepada Parlimen untuk melindungi haiwan terbiar.