Tiada keperluan Malaysia keluar peta baharu, kata Khaled

Tiada keperluan Malaysia keluar peta baharu, kata Khaled

Menteri pertahanan berkata Malaysia kekal pertahan kawasan kedaulatan negara walaupun ada perubahan ke atas peta Filipina.

Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata Malaysia sentiasa guna saluran diplomatik berdepan tuntutan bertindih.
JOHOR BAHRU:
Malaysia tidak mempunyai keperluan mengeluarkan peta baharu sempadan maritim dan akan terus mempertahankan kawasan perairan demi kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata Malaysia sentiasa menggunakan pendekatan menerusi saluran diplomatik dalam menghadapi cabaran melibatkan tuntutan bertindih.

“Kesan daripada Filipina yang keluarkan petanya, saya percaya keperluan untuk (Malaysia) keluar peta baharu adalah bergantung kalau kita rasakan ada perubahan pada peta lama.

“Peta kita tetap peta kita yang tidak diubah, yang ubah mereka (Filipina). Kita tetap akan mempertahankan kawasan dan kedaulatan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) di Masjid Al-Muhajirin, Masai.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan Malaysia untuk menukar peta sempadan maritim susulan isu dua akta maritim baharu Filipina yang melanggar sempadan maritim Sabah.

Khaled berkata, pemantauan akan terus dilakukan secara bersepadu berasaskan keupayaan dan aset sedia ada melibatkan tentera laut, tentera udara, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dengan menunjukkan kehadiran (show of presence) bagi mempertahankan hak kedaulatan kawasan maritim negara.

Beliau berkata, protes bantahan mengikut undang-undang antarabangsa yang telah ditetapkan juga akan dibuat sekiranya terdapat kapal negara asing dikesan memasuki sempadan.

“Kita juga laksanakan Maritime Domain Awareness (MDA), maknanya kita tahu apa berlaku dalam kawasan di bawah kedaulatan kita apabila kapal lain masuk,” katanya.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin dilapor berkata, Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.

Dilaporkan Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 Nov disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Menurut laporan media antarabangsa, kedua-dua akta maritim baharu Filipina itu dilihat sebagai usaha memperkukuh tuntutan Manila ke atas kawalan Laut China Selatan yang masih dipertikaikan hingga kini.

Sementara itu, mengenai notis pembatalan kontrak kepada syarikat pembekal bagi sewaan empat helikopter UH-60A Black Hawk untuk kegunaan tentera darat, Khaled berkata kementeriannya akan mengkaji sama ada terdapat keperluan membuat pembelian aset berkenaan.

Beliau berkata, proses perolehan perlu dilakukan dengan teliti mengikut spesifikasi aset diperlukan tentera darat dan ia mengambil masa.

Khaled sebelum ini dilapor berkata, tindakan penyerahan notis dilakukan selepas syarikat terlibat gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.