Pihak tuduh PM sokong Israel mahu raih keuntungan politik, kata Saifuddin

Pihak tuduh PM sokong Israel mahu raih keuntungan politik, kata Saifuddin

Pendirian perdana menteri sebagai pemimpin Islam yang menentang Israel sangat jelas, kata Saifuddin Nasution.

Menteri Saifuddin Nasution berkata kerajaan sudah berulang kali menjelaskan pendirian berhubung isu Israel dan Palestin. (Gambar Bernama)
BANDAR BAHARU:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Islam yang menentang Israel sangat jelas.

Beliau berkata tuduhan bahawa kerajaan dan perdana menteri menyokong Israel hanya bertujuan mahu meraih keuntungan politik semata-mata.

Saifuddin berkata beliau kesal apabila pendirian Anwar dalam perkara itu masih lagi dipertikai sedangkan kerajaan sudah menjelaskannya berulang kali.

“Berpolitik pun biarlah ada sempadan… takkanlah sampai tak boleh buat penilaian langsung. Saya percaya bahawa rakyat terbanyak mengikuti perkara ini dan rakyat tahu membuat penilaian.

“Sebab itu, kita minta hentikanlah tapi kalau dah berlebihan, ya tentulah pendekatan penguatkuasaan kita ambil,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir.

Sebelum ini, perdana menteri membidas pihak yang masih memfitnah beliau berhubung isu sokongan kepada Israel serta menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan memperbodoh rakyat.

Semalam, Anwar sekali lagi menegaskan Malaysia tetap konsisten dengan pendirian terhadap isu Israel dan Palestin sambil menekankan bahawa Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.