Kos bina tembok Kelantan-Thai lebih RM445 juta, kata MB

Kos bina tembok Kelantan-Thai lebih RM445 juta, kata MB

Menteri Besar Kelantan berkata cadangan pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir itu dapat membantu perkembangan ekonomi Kelantan.

Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri serius membanteras jenayah penyeludupan dan mengatasi masalah banjir di Sungai Golok sepanjang 99km. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata projek pembinaan tembok sempadan negeri itu dan Thailand dianggarkan mencecah RM445.748 juta, termasuk kos pengambilan tanah.

Beliau berkata cadangan pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir itu sangat relevan serta bermanfaat untuk jangka panjang bagi membantu perkembangan ekonomi Kelantan.

“Kelantan serius menangani dan membanteras jenayah penyeludupan serta mengatasi masalah banjir di kawasan Sungai Golok sepanjang 99km.

“Jadi, pembinaan tembok sempadan Kelantan-Thailand terutamanya bagi tujuan keselamatan sempadan negara amatlah penting bagi mengelakkan jenayah rentas sempadan berleluasa,” katanya menurut Harian Metro selepas satu program di Kota Bharu.

Pada 5 Nov lalu, kerajaan Kelantan dilaporkan merancang mengusulkan pembinaan tembok kira-kira 100km di sempadan negeri itu dengan Thailand kepada Putrajaya untuk menangani jenayah penyeludupan serta mengurangkan risiko banjir berulang.

Khamis lalu, Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham dipetik Bernama menyambut baik cadangan pembinaan tembok itu yang dapat mengawal masalah banjir akibat limpahan Sungai Golok ke Rantau Panjang.

Katanya, tembok sedia ada di sepanjang Sungai Golok telah membantu mengurangkan aktiviti penyeludupan dan pencerobohan haram.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pembinaan tembok sempadan itu perlu dibincang dan dimuktamadkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.