Dihubungi ‘scammer’ dalam talian di Iraq, juruteknik rugi lebih RM900,000

Dihubungi ‘scammer’ dalam talian di Iraq, juruteknik rugi lebih RM900,000

Pekerja syarikat gali itu ditawarkan pelaburan yang kononnya memberi keuntungan dalam tempoh satu jam.

Scammer-Hacker
Mangsa diminta membayar deposit RM100,000 bagi mengeluarkan ‘keuntungan’ RM8 juta oleh syarikat pelaburan dalam talian, kata polis.
PETALING JAYA:
Seorang juruteknik syarikat cari gali rugi RM908,305 selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang kononnya mampu memberi keuntungan dalam tempoh satu jam.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata lelaki berusia 48 tahun mendakwa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu pelaburan terbabit ketika dia berada di tempat kerja di Iraq, Ogos lalu,

Menurutnya, tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa kemudiannya memuat turun aplikasi sebelum membuat pendaftaran selain mengikuti kelas secara dalam talian yang menjelaskan prosedur urus niaga serta keuntungan.

M Kumar.

“Semasa berada di Kota Tinggi pada pertengahan September hingga bulan ini, dia telah membuat pembayaran secara dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza seperti diarahkan sehingga berjumlah RM908,305.

“Selepas bayaran dibuat, pelaburannya telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM8 juta dan dia berhasrat mengeluarkan wang keuntungan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata untuk berbuat demikian mangsa diarahkan melakukan pembayaran sebanyak RM100,000 sebagai wang deposit, namun dia enggan.

“Menyedari ditipu, dia membuat laporan polis semalam dengan kerugian RM908,305.

“Kes disiasat mengikut 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya tawaran pelaburan dalam talian dengan pulangan tinggi dalam masa singkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.