
Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berpandangan antara komitmen diperlukan pihak terbabit termasuk dana pengurusan selain kos lain seperti penyediaan makanan, tempat tinggal dan latihan.
“Perlu juga komitmen negara ketiga untuk mengambil pelarian terbabit, tak boleh selamanya di Malaysia sebaliknya hanya transit,” katanya kepada FMT mengulas cadangan Ahli Parlimen Tumpat Mumtaz Md Nawi pada sidang Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu memberi cadangan sedemikian memandangkan Malaysia menerima pemegang kad UNHCR paling ramai di Asean, selain menyelesaikan isu berbangkit termasuk masalah sosial.
Mizan bersetuju langkah itu dapat membantu masalah sosial dan jenayah melibatkan pelarian di negara kerana ada pengurusan serta pemantauan lebih baik.
Isu pelarian ini jika tidak diurus baik boleh mengancam dan merencatkan kualiti hidup masyarakat tempatan serta merosakkan sistem sedia ada yang membuka ruang kepada kes jenayah termasuk peningkatan pendatang tanpa izin.
“Mereka (pelarian dan pati) sudah meresapi dalam sistem keselamatan sehingga sanggup merasuah penguatkuasa,” katanya yang mencadangkan kaedah pengurusan pelarian perang Vietnam di Pulau Bidong, Terengganu pada 1975 digunakan.
Bagaimanapun, pakar undang-undang antarabangsa Salawati Mat Basir menyifatkan cadangan Mumtaz itu sebagai tidak praktikal dan tidak boleh disamakan dengan penempatan secara transit pelarian perang Vietnam.
“Berbeza dengan sekarang di mana pelarian ini tiada negara mengambilnya,” katanya yang turut membangkitkan isu pihak yang perlu menyediakan kos untuk membina kemudahan jika cadangan menempatkan pelarian ke pulau dilaksanakan.
Ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata sebagai langkah awal kerajaan perlu melaksanakan sistem pengawalan dan pemantauan pelarian untuk mengurangkan kesan kebanjiran mereka.
“Telah lama saya cadangkan ini supaya kerajaan dapat sediakan mekanisme pengawalan ini, kalau ada boleh kita tahu jumlah pelarian yang sebenarnya ada di Malaysia dan berapa perlu dihantar semula.
“Tetapi ini tidak dibuat, kalau ada tak timbul cadangan nak tempatkan pelarian ini ke pulau atau terpaksa minta bantuan negara ketiga,” katanya.