Ambil iktibar pilihan raya AS, pastikan manfaat dirasai penduduk luar bandar, kerajaan diberitahu

Ambil iktibar pilihan raya AS, pastikan manfaat dirasai penduduk luar bandar, kerajaan diberitahu

Penyokong kerajaan turut memberi amaran kepada PH bahawa penyokong mungkin tidak mengundi pada PRU16 jika kerajaan perpaduan gagal melaksanakan pembaharuan.

Kerajaan perpaduan boleh belajar daripada mesej konsisten dan berterusan Donald Trump serta keupayaannya mengadakan libat urus dengan rakyat Amerika dalam isu penting, menurut seorang Ahli Parlimen kerajaan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan berkata kerajaan perpaduan boleh belajar daripada keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, yang menyaksikan calon kontroversi Republikan, Donald Trump mengalahkan Kamala Harris daripada Parti Demokrat dengan kemenangan besar.

Penyokong kerajaan yang enggan dinamakan itu berkata, pengajaran terbesar boleh dipelajari kerajaan perpaduan ialah memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia dirasai penduduk di bandar kecil dan kawasan luar bandar.

Katanya, AS mencatat pertumbuhan ekonomi kukuh di bawah pentadbiran Joe Biden, tetapi Washington gagal menyebarkannya kepada komuniti lebih miskin di negeri penentu, yang membawa kepada kemenangan besar Trump.

Seperti AS, beliau berkata Malaysia menunjukkan prestasi ekonomi baik, menarik pelaburan langsung asing (FDI) besar, khasnya dalam sektor teknologi.

“Tetapi, jika pertumbuhan ekonomi baik gagal sampai ke bandar lebih kecil dan kawasan luar bandar, sokongan politik untuk kerajaan Madani akan berkurangan.

“Mujur kita masih ada tiga tahun untuk memindahkan faktor “feel-good” kepada pengundi luar bandar. Tetapi, kita perlu merancang dari sekarang dan bertindak cepat.

“Kita perlu memfokuskan pembangunan luar bandar dan pertanian, serta menghapuskan amalan rasuah,” katanya kepada FMT sambil memetik siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas skandal kontrak baja padi bernilai RM1.8 bilion sebagai contoh.

Ahli Parlimen itu turut memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa kegagalan melaksanakan pembaharuan boleh menyebabkan penyokong terasnya berasa dikhianati dan tidak mengundi pada PRU16.

Beliau berkata ini mungkin berlaku dalam kalangan sejumlah besar penyokong Parti Demokrat disebabkan pendirian kerajaan Biden terhadap konflik Israel-Hamas, yang nampaknya menyumbang secara signifikan kepada kemenangan Trump.

“Sama juga jika PH tidak mampu memaksa kerajaan Madani melakukan pembaharuan penting tertentu, kita juga mungkin mempunyai penyokong yang tidak akan mengundi pada PRU16.”

Katanya kerajaan perpaduan juga boleh belajar daripada kempen Trump, di mana calon Republikan itu secara konsisten dan gigih dalam mesejnya serta menunjukkan keupayaan mengadakan libat urus dengan rakyat Amerika dalam isu penting.

“Anda mungkin tidak dapat membuatkan semua orang bersetuju dengan anda dalam semua perkara, tetapi pengundi atas pagar akan hormati anda dan lebih cenderung menyokong anda, jika anda lakukan apa yang dijanjikan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.