
Sindiket itu menggunakan pasport tulen individu lain atau tamat tempoh dengan meminda maklumat biodata bagi kemudahan warga asing memohon pemeriksaan kesihatan saringan kesihatan Bio-Medical dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dengan upah RM200 setiap urusan.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya melancarkan operasi khas di tiga lokasi sekitar Setapak Jaya mulai 11.51 pagi Khamis lalu berdasarkan aduan awam dan risikan selama tiga minggu.
Katanya, dua lelaki Pakistan berusia 27 dan 37 tahun yang dipercayai “dalang utama” ditahan hasil pemeriksaan ke atas dua kenderaan mencurigakan.
“Turut ditahan enam lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India dalam kenderaan itu. Mereka berusia 21 hingga 55 tahun,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, sindiket itu menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport kepada warga asing tidak memiliki dokumen perjalanan.
“Sindiket ini menggunakan pasport tulen milik individu lain atau tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata bagi kemudahan warga asing memohon pemeriksaan kesihatan Fomema. Sindiket juga akan membawa warga asing yang dibekalkan pasport diubah suai ke klinik bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.”
Menurutnya, sindiket itu dipercayai beroperasi selama enam bulan dan kes disiasat mengikut Akta Pasport 1966 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.