
Pegawai Daerah Kampar merangkap pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Nazrul Fazami Mohamad berkata arahan itu terpakai kepada semua pengusaha resort dan tapak perkhemahan sehingga arahan lanjut dikeluarkan pihak berkuasa.
“Antara aktiviti ditangguhkan adalah water rafting dan water tubing serta sebarang aktiviti membabitkan kawasan sungai di daerah Kampar,” katanya dalam surat rasmi dikeluarkan malam tadi menurut Harian Metro.
Terdahulu, tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas selepas bot rafting yang mereka naiki menyusuri Sungai Jahang dekat Gopeng terbalik akibat kepala air.
Mangsa dikenal pasti jurutera daerah Seberang Perai Tengah, Suhaili Mat Saad, 47; penolong jurutera kanan JKR Langkawi, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37 dan pegawai khidmat pelanggan JKR Langkawi, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29.