Tahap integriti polis masih membimbangkan, kata Razarudin

Tahap integriti polis masih membimbangkan, kata Razarudin

Ketua polis negara berkata kewibawaan dan imej polis tercalar dengan penangkapan segelintir anggota atas kesalahan seperti dadah, jenayah dan salah guna kuasa.

razarudin
Ketua Polis Negara Razarudin Husain menyeru warga polis melakukan perubahan drastik terhadap budaya kerja dan tahap integriti agar kekal relevan dan dihormati masyarakat.
KUALA LUMPUR:
Tahap integriti warga polis masih membimbangkan walaupun peringatan dan amaran diberikan berulang kali mengenai perkara berkenaan, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Justeru, beliau berkata terdapat keperluan untuk satu perubahan drastik terhadap budaya kerja dan tahap integriti dalam diri warga polis agar pasukan keselamatan itu kekal relevan dan dihormati oleh masyarakat.

“Kewibawaan dan imej polis tercalar dengan penangkapan segelintir warga polis atas kesalahan seperti dadah, jenayah dan salah guna kuasa, malah saya dimaklumkan pada 2023, terdapat penglibatan 22 pegawai polis sebagai suspek kes jenayah komersial.

“Lebih membimbangkan, penglibatan pegawai polis dalam kes jenayah komersial meningkat kepada 23 orang pada Jan hingga Sept 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan ketua polis negara bagi November 2024 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf.

Razarudin turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan warga polis yang terlibat dalam kes salah laku yang dianggapnya sebagai mementingkan diri sendiri.

“Saya amat kecewa dan terkilan kerana amanah di sebalik seragam biru yang kita banggakan ini disalah guna oleh mereka yang tidak keterlaluan jika saya ibaratkan sebagai manusia tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri.

“Justeru, sempena pelancaran Bulan Integriti Nasional 2024 bertemakan ‘Teguh Integriti Kukuh Pertiwi’ pada 5 Nov yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, polis menyambut baik usaha murni kerajaan dalam memperkasakan pembudayaan integriti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.