
Tiong berkata, walaupun peraturan bas persiaran tidak terletak bawah bidang kuasa kementeriannya, beberapa kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berkenaan memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan.
Sebagai contoh, katanya, dua agensi berkaitan pelancongan Jepun, Nankai Electric Railway dan JTB Corporation, telah menangguhkan sementara dua pakej pelancongan selepas peserta dalam pakej mereka terlibat dengan kemalangan membabitkan bas persiaran di Taiping, Perak, bulan lepas.
“Penting untuk menangani isu-isu ini, terutamanya Nankai Electric Railway merancang untuk mempromosikan pelancongan Malaysia di dalam kereta api mereka semasa Ekspo Osaka 2025 dan di sepanjang laluan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Haneda Tokyo untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Memastikan inisiatif-inisiatif ini berjalan dengan lancar tanpa kebimbangan terhadap keselamatan bas adalah penting. Bagi mengelakkan kemerosotan kepada industri pelancongan yang semakin pulih ketika ini, Motac komited untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tiong berkata, beliau juga telah bertemu wakil pengarah Nankai Electric Railway Co Naoto Ashibe ketika Sidang Kemuncak Daya Tahan Pelancongan di Sendai, Jepun, baru-baru ini untuk menyampaikan permohonan maaf secara peribadi atas kemalangan berkenaan.
Pada pertemuan itu, Tiong meminta Ashibe menyampaikan ucapan takziah kepada pelancong yang terbabit dan memberi jaminan bahawa Tourism Malaysia akan membantu dengan sebarang tuntutan setelah siasatan polis selesai.
Tiong dan Ashibe turut mencadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan perjalanan bas, termasuk mewajibkan dua pemandu bagi perjalanan melebihi lapan jam, mewajibkan pemandu menjalani ujian alkohol dan dadah sebelum memulakan tugas dan memantau pemandu menerusi video bagi perjalanan jarak jauh.
Cadangan lain termasuk mengehadkan jumlah jam pemanduan, menguatkuasakan penggunaan tali pinggang keledar penumpang dan mengurangkan ketinggian bas persiaran.
Pada 25 Okt, seorang wanita warga Jepun berusia 73 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya selepas bas yang dinaikinya merempuh belakang sebuah lori di Lebuh Raya Utara-Selatan pada hari sebelumnya.
Seramai 13 orang termasuk 11 warga Jepun berusia antara 58 hingga 80 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Cameron Highlands dari Pulau Pinang cedera dalam kemalangan itu.