
Ketua Polis Kubang Pasu, Mohd Redzuan Salleh, berkata lelaki warga tempatan itu dikesan Unit Kereta Peronda (MPV) Jabatan Pencegahan Komuniti yang melakukan rondaan di lokasi terbabit.
Katanya, ketika kenderaannya dihampiri, suspek bertindak memecut kenderaanya sejauh kira-kira dua kilometer sebelum terbabas ke bahu jalan di simpang tiga menghala Asun, Jitra.
“Pemandu kereta yang juga lelaki warga tempatan berusia 28 tahun itu pada mulanya cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap.
“Hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta itu menemui lima lelaki dan dan wanita warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan, semua warga asing berusia 26 hingga 43 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan dipercayai dari Myanmar.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Manusia 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah boleh di penjara tidak lebih lima tahun atau boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali atau tidak lebih dari enam sebatan,” katanya.