Restoran mamak tak naik harga 5% tahun depan, kata Presma

Restoran mamak tak naik harga 5% tahun depan, kata Presma

Presiden Jawahar Ali Taib Khan memberi jaminan itu selepas pertemuan dengan pihak KPDN di Putrajaya.

(Dua kiri) Jawahar Ali Taib Khan berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,700 tahun depan bukan alasan naik harga makanan di restoran mamak. Turut kelihatan (dari kiri) peguam mewakili Presma Habizan Habeeb Rahman, (dua  kanan) Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Johor Hussien Ibrahim, dan bendahari Ajim Nasir Khan.
PUTRAJAYA:
Tiada kenaikan harga makanan 5% di semua restoran mamak tahun depan termasuk di Johor, kata Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan, berkata demikian selepas pertemuan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, laporan media memetik Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Johor, Hussien Ibrahim, sebelum ini disalah petik, justeru menimbulkan salah faham.

“Apa kita bincang dengan KPDN kita beritahu muktamad tiada kenaikan dalam masa terdekat di Johor dan semua restoran India Muslim.

“Kenyataan (dikeluarkan) itu mungkin tersasul sebab panggilan telefon dibuat sewaktu dia (Hussien) sedang memandu kereta. Dia pun bukan pemilik restoran dan hanya setiausaha persatuan tersebut,” katanya kepada FMT.

Jawahar berkata, pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa, Shamsul Nizam Khalil berlangsung 30 minit.

Turut hadir, peguam Presma, Habizan Habeeb Rahman dan Bendahari Persatuan Usahawan India Muslim Johor, Ajim Nasir Khan.

Sebelum ini, media melaporkan 300 restoran mamak di Johor dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula 5% mulai tahun depan.

Hussien berkata, langkah itu berikutan peningkatan kos operasi seperti harga barang dan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bermula Februari 2025.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata notis memanggil persatuan terbabit telah dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Dalam pada itu, Jawahar berkata Presma tidak akan bersekongkol dengan mana-mana restoran bawah persatuan tersebut byang ingin menaikkan harga makanan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan menggunakan alasan kenaikan gaji minimum RM1,700 untuk menaikkan harga.

Sementara itu, Hussien enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan dikeluarkan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.