‘Pasukan kami tak dapat elaun kerajaan,’ kata pemimpin Skuad Sabil Umno

‘Pasukan kami tak dapat elaun kerajaan,’ kata pemimpin Skuad Sabil Umno

Mohd Razi Othman berkata hanya ahli berdaftar dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima elaun, bukan pasukan secara keseluruhan.

Skuad Sabil ditubuhkan pada 2019 sebagai pasukan sukarelawan Umno. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pimpinan Skuad Sabil menepis dakwaan pasukan sukarelawan Umno itu diberi elaun oleh kerajaan, sambil menjelaskan insentif itu terhad kepada ahli menganggotai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Setiausahanya Mohd Razi Othman berkata masih ramai keliru dan beranggapan elaun itu diberi kepada keseluruhan pasukan sehingga menimbulkan isu, terbaru dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dari Perikatan Nasional (PN).

Beliau menjelaskan hanya ahli menganggotai APM menerima elaun itu dan mereka diterima selepas menyertai latihan serta kursus wajib selama 16 jam disediakan APM.

“Untuk bertugas dalam misi bantuan bencana seperti banjir, anggota Skuad Sabil perlu melapor diri di pejabat APM terlebih dahulu.

“Hanya anggota memiliki nombor badan APM dan telah berkursus layak menerima elaun,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Latiff dari PAS di Dewan Rakyat semalam yang menggesa pasukan sukarelawan partinya dikenali Jabatan Amal turut diberi elaun seperti Skuad Sabil dengan mengiktirafnya sebahagian ahli APM.

Dakwanya, pasukan diselia Pemuda PAS itu lebih berpengalaman dalam mengendalikan operasi ketika bencana berbanding Skuad Sabil.

Razi mengakui Jabatan Amal sebagai badan sukarelawan lebih berpengalaman namun mereka perlu mengikuti prosedur untuk menganggotai APM bagi membolehkannya menerima elaun.

“Ini penting bagi memastikan semua anggota mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.