Malaysia hantar nota bantahan akta Filipina langgar sempadan maritim

Malaysia hantar nota bantahan akta Filipina langgar sempadan maritim

Dua akta baharu yang ditandatangani presiden Filipina minggu lepas melanggar sempadan maritim Sabah, kata Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin.

Presiden Ferdinand Marcos Jr menandatangani Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina pada 8 Nov lepas. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah hari ini, kata Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin.

Beliau berkata, Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 Nov lepas disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Katanya, terdapat dokumen rujukan akta berkenaan turut menyentuh soal tuntutan negara itu terhadap Sabah.

“Kita telah pun memuktamadkan dan mempertimbangkan beberapa isu utama yang akan kita masukkan dalam nota bantahan kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

“Nota bantahan ini, kita akan hantar hari ini juga demi menunjukkan komitmen kita bahawa hak kedaulatan Sabah dan negara kita akan terus kita pertahankan.”

Menurut laporan media antarabangsa, kedua-dua akta maritim baharu Filipina itu dilihat sebagai usaha memperkukuh tuntutan Manila ke atas kawalan Laut China Selatan yang masih dipertikaikan sehingga kini.

Mengenai Kepengerusian Asean 2025, Mohamad berkata, peruntukan khas RM560 juta untuk Kementerian Luar bagi penganjuran pelbagai acara berkaitan Asean akan meliputi perbelanjaan kemudahan persidangan, penginapan tetamu negara dan delegasi, media dan publisiti, pengangkutan dan lain-lain perkhidmatan.

“Lokasi mesyuarat Asean yang diadakan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan membantu menjana pendapatan domestik bagi pelbagai sektor tempatan seperti perkhidmatan, perhotelan, pelancongan, jualan seni dan kraf selain mempromosi budaya Malaysia,” katanya.

Mohamad berkata, Kementerian Belia dan Sukan dan agensi berkaitan juga terlibat dalam melaksanakan beberapa program bersesuaian untuk golongan muda supaya mereka dapat turut serta menjayakan Kepengerusian Asean tahun depan.

Beliau berkata, Kementerian Luar beriltizam menjadikan Asean sebagai platform kukuh demi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan membawa manfaat jangka panjang kepada Malaysia dan semua negara anggota blok serantau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.