Euro 5 tak beban pengguna, kata Nik Nazmi

Euro 5 tak beban pengguna, kata Nik Nazmi

Penggunaan Euro 5 lebih kepada untuk memastikan kawalan pelepasan karbon serta kualiti minyak yang lebih baik, kata menteri itu.

Malaysia akan mula melaksanakan penggunaan petrol Euro 5 pada September 2025 dan dijangka mencapai spesifikasi penuh pada 2027.
KUALA LUMPUR:
Penggunaan petrol Euro 5 yang akan mula dilaksanakan September tahun depan tidak akan meningkatkan harga bahan api itu, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, pelaksanaannya memerlukan pelaburan dibuat oleh syarikat minyak kerana ia langkah berterusan untuk menaik taraf spesifikasi bahan api selain menjaga kualiti udara negara.

“Tetapi harga bergantung kepada sistem pada waktu yang kerajaan nak laksanakan itu, iaitu (ketika) penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Beverly Group, Samjung Tech dan Parktech Solutions.

“Langkah ini lebih kepada untuk pastikan kawalan pelepasan karbon serta kualiti minyak yang lebih baik … jadi dari segi harga petrol di pasaran tidak ada kaitan.”

Beliau berkata, usaha untuk mempertingkat kualiti bahan api merupakan langkah berterusan seperti yang telah dilaksanakan bagi diesel Euro 5.

Semalam, Nik Nazmi memaklumkan Malaysia akan mula melaksanakan penggunaan petrol Euro 5 pada September 2025 dan dijangka mencapai spesifikasi penuh pada 2027.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, negara tidak boleh menolak penggunaan unsur nadir bumi jika melibatkan penggunaan kenderaan elektrik termasuk tenaga boleh baharu, namun pengurusan bahan itu harus dilaksanakan secara teliti dan berhati-hati.

“Kalau kita lihat setakat ini nadir bumi yang ada di negara kita tidak ada elemen radioaktif … yang didebatkan dahulu soal Lynas adalah dari Australia, itu pun ia dikawal menerusi perlesenan yang dikeluarkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB),” katanya.

“Namun, bercakap mengenai peralihan menggunakan kenderaan elektrik, penggunaan tenaga boleh baharu memang kita perlukan nadir bumi. Saya setuju penggunaannya perlu diimbangi dan dikawal ketat … tetapi kalau kita nak katakan tidak mahu guna langsung sebab ada beberapa kesan sampingan, itu saya tidak setuju.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.