Dakwa bekas CEO fitnah Hajiji, NGO lapor polis

Dakwa bekas CEO fitnah Hajiji, NGO lapor polis

Kumpulan G57 mahu polis menyiasat bekas ketua sebuah GLC negeri dan membersihkan nama ketua menteri Sabah.

Pengerusi G57 Zulkarnain Mahdar bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di balai polis Sri Petaling.
KUALA LUMPUR:
Sebuah NGO Sabah membuat laporan polis terhadap bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri kerana didakwa memfitnah Ketua Menteri Hajiji Noor.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia, yang juga dikenali sebagai G57, Zulkarnain Mahdar mendakwa, pegawai kanan itu menerusi tuduhannya secara tidak langsung menggambarkan Hajiji seorang pemimpin korup yang membantu mendapatkan projek untuk kontraktor.

Katanya, dakwaan itu dibuat dalam video yang dimuat naik ke YouTube baru-baru ini.

“Tuduhan bahawa (Hajiji) menekan CEO untuk beri kontrak ialah satu fitnah. Siapa pun boleh buat tuduhan. Minta panggil (dia) tunjuk bukti.

“(Jika tentang) nota bida Hajiji, tak laku walaupun dia ketua menteri,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan bagi pihak NGO itu di balai polis Sri Petaling hari ini.

Menurut Zulkarnain, beberapa kontraktor mengadu mereka cuba melobi menggunakan nota bida Hajiji, tetapi mendapati ia ‘tidak laku’.

“(Nota bidaan) hanya suatu bentuk sokongan, bukan arahan,” katanya.

Zulkarnain juga memfailkan satu lagi laporan polis berhubung siaran media sosial yang mendakwa wujudnya konspirasi antara bekas CEO itu dan seorang lagi individu bergelar ‘Datuk’ untuk memperdaya lembaga pengarah GLC negeri bagi mendapatkan projek.

Beliau berkata, beliau akan memfailkan satu lagi laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Pada Selasa, Hajiji berkata, beliau tiada perkara untuk disembunyikan berhubung kes Adun negeri itu didakwa membincangkan rasuah untuk lesen projek.

Katanya, kerajaan negeri akan membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan itu.

Terdahulu, individu tersebut meminta jaminan SPRM bahawa beliau tidak akan disiasat sebelum memberikan keterangan.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya menolak permintaan itu kerana mereka tidak boleh memberikan jaminan imuniti secara bertulis tanpa maklumat terperinci mengenai dakwaan kelakuan tidak wajar itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkata, pemberi maklumat tidak boleh mengharapkan perlindungan jika terlibat dengan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.