Ibu bapa ‘blacklist’, anak tak boleh masuk MRSM hanya sementara

Ibu bapa ‘blacklist’, anak tak boleh masuk MRSM hanya sementara

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Rubiah Wang berkata syarat itu antara usaha Mara supaya peminjam tidak culas membayar hutang.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Rubiah Wang berkata antara syarat untuk pelajar memasuki MRSM adalah ibu bapa tidak disenarai hitam oleh Mara. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Tindakan menyenarai hitam individu tidak membayar pinjaman Mara sehingga menyebabkan anak mereka tidak memenuhi syarat kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hanya bersifat sementara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah Wang, berkata syarat itu antara usaha Mara supaya peminjam sama ada pinjaman pendidikan atau perniagaan tidak culas membayar hutang.

“Senarai hitam kepada peminjam ini bersifat sementara, malah mereka boleh datang jumpa Mara. Kalau tak mampu bayar (ansuran bulanan), kita terbuka tanya mereka berapa boleh bayar.

“Pokoknya mereka bayar pinjaman Mara. Kebanyakan kes selepas jumpa Mara dia akan bayar hutang dan nama dikeluar daripada senarai hitam,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), bila kementerian akan menghapuskan senarai hitam yang  berhutang dengan Mara supaya anak mereka dapat memasuki MRSM.

Menurutnya, antara syarat untuk pelajar memasuki MRSM selain warganegara Malaysia dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapa pelajar juga tidak disenarai hitam oleh Mara.

Rubiah berkata, langkah senarai hitam itu juga bagi memastikan aktiviti perniagaan usahawan sentiasa dinaik taraf dan peminjam hanya disenarai hitam jika tidak membayar ansuran selama tiga bulan.

Sementara itu, Rubiah menegaskan tiada MRSM elit dilaksanakan membabitkan 27 sekolah bawah seliaan Mara, sebaliknya hanya beberapa program berbeza meliputi lima kategori iaitu Bitara, Ulul Albab, Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE), Teknikal dan Premier.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.