
Acara itu pada mulanya dijadualkan untuk diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan memberitahu FMT, keputusan untuk mengadakan acara tiga hari itu di lokasi berprofil tinggi seperti KLCC membayangkan keutamaan diberi pada perkara yang tidak sepatutnya.
“Memandangkan rakyat Malaysia berdepan kos sara hidup tinggi dan tekanan kewangan, acara mewah seperti itu nampak seolah-olah tiada kesinambungan dengan cabaran dihadapi rakyat,” kata Punithan yang juga timbalan pengerusi Perikatan Nasional.
Katanya, kerajaan sepatutnya boleh membelanjakan wang ke arah keperluan negara yang mendesak, seperti program kebajikan sosial, pembaikan infrastruktur, atau membaiki perkhidmatan perlu seperti tandas di Maktab Rendah Sains Mara di Langkawi.
Punithan berkata, sambutan Madani yang berlebih-lebihan itu bertentangan dengan prinsip ditetapkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mula memegang jawatan itu.
Pada 2022, Anwar menggesa agensi supaya mengelak daripada mengadakan sambutan besar-besaran. Beliau meminta agensi kerajaan berhenti menganjurkan majlis besar-besaran atau membeli pakaian baharu untuk majlis tertentu bagi mengelak membazir dana awam.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan kerajaan hipokrit apabila menganjurkan acara seperti itu.
“Kita sudah berulang kali mengatakan bahawa kerajaan ini hipokrit. Beliau (Anwar) memungkiri banyak janji dan pembaharuan, malah arahan seperti ini juga tidak diendahkan.
“Mereka tidak mendengar rakyat dan pembangkang kerana mereka percaya mereka mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen,” kata Ahli Parlimen Machang itu.