Malaysia lancar bidaan TBB rentas sempadan bagi pengimport Singapura akhir tahun

Malaysia lancar bidaan TBB rentas sempadan bagi pengimport Singapura akhir tahun

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata melalui usaha menyepadu grid kuasa serantau, negara sasar mengukuhkan jaminan tenaga di semua negara anggota Asean.

Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata dengan berkongsi lebihan tenaga, Malaysia boleh mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil sambil membina infrastruktur tenaga Asean bersepadu.
KUALA LUMPUR:
Bidaan tenaga boleh baharu (TBB) rentas sempadan Malaysia bagi pengimport tenaga Singapura bawah Energy Exchange Malaysia (Enegem) akan bermula akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Beliau berkata, melalui usaha menyepadukan grid kuasa serantau, negara menyasarkan untuk mengukuhkan jaminan tenaga di semua negara anggota Asean.

“Seterusnya bagi grid bersepadu serantau, ia juga boleh berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dalam memupuk kerjasama serantau melalui perdagangan tenaga boleh baharu rentas sempadan.

“Dengan berkongsi lebihan tenaga, negara boleh mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil sambil membina infrastruktur tenaga Asean bersepadu,” katanya semasa berucap pada acara “Sustainability Environment Asia” kedua 2024.

Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu turut mengesahkan penjanaan arang batu akan dihentikan secara berperingkat dan tiada loji janakuasa arang batu baharu akan dibina.

Sejajar pendirian jelas Agensi Tenaga Antarabangsa bahawa usaha mengurangkan pergantungan arang batu penting untuk mengehadkan pemanasan global, katanya, Malaysia komited mencapai objektif ini.

“Kami akan terus meningkatkan fleksibiliti grid dengan melabur dan membangunkan grid pintar, mendigitalkan sistem kuasa dan mengembangkan sistem simpanan tenaga.

“Menjelang 2035, kami menyasarkan untuk meningkatkan fleksibiliti grid sebanyak 20% membolehkan penyepaduan lebih besar sumber TBB.”

Berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, kerajaan menyasar untuk meningkatkan sumbangan TBB kepada kapasiti kuasa terpasang Malaysia kepada 70% menjelang 2050 berbanding 28% ketika ini.

Sementara itu, beliau menggariskan rancangan menstruktur semula perkhidmatan air negara dalam dekad akan datang dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Persatuan Air Malaysia.

“Sehingga 2023, 97.1% kawasan bandar dan luar bandar mempunyai akses bekalan air, manakala perkhidmatan pembetungan meliputi 86.9% bandar utama.

“Melalui Pengurusan Sumber Air Bersepadu, Malaysia menyasarkan 98% liputan air bersih luar bandar dan 31% kadar air bukan hasil menjelang 2025.”

Menurutnya, Malaysia terus komited memupuk persekitaran sihat, memacu kemakmuran ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup untuk rakyat serta generasi akan datang.

Beliau berkata, ketika negara berusaha ke arah mencapai matlamat karbon sifar bersihnya menjelang 2050, penting untuk memanfaatkan setiap peluang bagi mengemudi transformasi mampan dan menerima ekonomi bulat.

“Saya mempelawa perniagaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dan meneroka semua pilihan kerjasama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.