Lelaki tikam mati 2 beranak didakwa di wad

Lelaki tikam mati 2 beranak didakwa di wad

Dalam prosiding di Hospital Pulau Pinang itu tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Farhan Izzuddin Rosman yang didakwa atas tuduhan membunuh.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi (kanan) hadir di Hospital Pulau Pinang hari ini bagi prosiding seorang pekerja kilang didakwa membunuh dua beranak di Ayer Hitam Khamis lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja kilang didakwa atas dua tuduhan membunuh dua beranak yang maut ditikam dalam kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, George Town pada Khamis lalu.

Dalam prosiding di wad Hospital Pulau Pinang itu, Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, 32, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Farhan dituduh membunuh Zulkifli Ibrahim, 62, dan anaknya Siti Zulaila Zulkifli, 30.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif Blok 1, Sri Ivory Apartment, Jalan Lengkok Angsana di Ayer Itam pada jam 12.54 tengah hari, 7 Nov lalu.

Farhan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun serta 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala Farhan tidak diwakili peguam.

Nadratun kemudiannya menetapkan 15 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada Khamis lalu itu, dua beranak berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditikam suspek di hadapan lif pangsapuri berkenaan.

Suspek yang turut turut mencederakan diri sendiri dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas cintanya ditolak Siti Zulaila.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.