Laksana ujian akhir sesi akademik mulai tahun 3, syor kumpulan ibu bapa

Laksana ujian akhir sesi akademik mulai tahun 3, syor kumpulan ibu bapa

Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) turut cadang peperiksaan itu diadakan setiap penggal bagi memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Kelmarin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata UPSR tidak akan diperkenalkan semula di sebalik desakan ramai ibu bapa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan ibu bapa mengesyorkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), peperiksaan utama untuk murid tahap 2 diperluaskan kepada murid tahun 3 bagi bagi memperkasa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata ini kerana wujud jurang sangat besar antara silibus tahun 3 yang berada pada tahap 1 dan tahun 4.

Beliau turut berpandangan UASA wajar dilaksanakan setiap penggal bagi mengembalikan motivasi dan minat murid belajar selepas sistem peperiksaan berpusat iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dihapuskan.

Mak Chee Kin
Mak Chee Kin.

“Sepatutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu sedar masalah sekarang bukan sekadar memperbaiki PBS tetapi meningkatkan moral murid yang keinginannya menyentuh buku semakin rendah dengan alasan tiada peperiksaan.

“Bagi mengatasinya laksana UASA di setiap penggal dan perluaskan kepada murid tahun 3 kerana silibusnya dengan tahun 4 sangat jauh,” katanya kepada FMT.

UASA, dilaksanakan untuk murid tahun 4 hingga tahun 6 dan tingkatan 1 hingga tingkatan 3 bagi menggantikan pemansuhan UPSR mulai 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) setahun kemudiannya.

Mak mengulas pendirian KPM untuk tidak mengembalikan UPSR dan PT3 di sebalik desakan beberapa pihak mahu peperiksaan dikembalikan bagi tahun 6 dan tingkatan 3.

Menteri Fadhlina Sidek dilaporkan berkata KPM memberi tumpuan kepada pemerkasaan PBS, membabitkan komponen pentaksiran bilik darjah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta psikometrik.

Langkah itu seiring dengan negara-negara lain yang turut beralih kepada PBS, antaranya Jepun, Hong Kong, Australia, Finland, dan Kanada, katanya.

Sementara itu, ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad mempersoalkan kesediaan KPM dalam menyediakan infrastruktur lebih selesa kepada murid sekiranya PBS terus menjadi teras sistem pendidikan negara.

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad.

“Antara UPSR dan PBD (pentaksiran bilik darjah), kita tahu PBD lebih baik, lebih holistik tetapi adakah guru-guru sudah bersedia? Adakah sistem pendidikan kita bersedia?,” soalnya merujuk kepadatan kelas sehingga 45 murid.

Tambahnya, KPM juga wajar menyelesaikan isu silibus padat di peringkat sekolah rendah bagi memastikan guru mempunyai keupayaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan berkesan.

“Jika silibus padat, banyak yang perlu diajar oleh guru dan dalam kelas juga ada pelbagai jenis murid.

“Jadi, bagaimana guru mempunyai keupayaan untuk memastikan silibus yang diarahkan untuk diajar dapat dilaksanakan dalam kelas yang ramai murid.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.