Kesuma sasar tingkat 30% pelaporan kes penyakit, keracunan pekerjaan

Kesuma sasar tingkat 30% pelaporan kes penyakit, keracunan pekerjaan

Menterinya Steven Sim berkata pelaporan penyakit pekerjaan adalah langkah penting bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin.

steven
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kementerian menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menerima 11,747 pelaporan kes penyakit dan keracunan pekerjaan tahun lalu, yang meningkat 29% berbanding 2020. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyasarkan peningkatan 30% pelaporan kes penyakit dan keracunan pekerjaan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjelang 2025.

Menterinya, Steven Sim, berkata pelaporan penyakit pekerjaan adalah langkah penting bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin.

Katanya, kementerian juga komited untuk meningkatkan kesedaran di kalangan majikan, pekerja, dan pengamal perubatan mengenai kepentingan melaporkan kes penyakit dan keracunan di tempat kerja.

“JKKP telah menerima 11,747 pelaporan kes penyakit dan keracunan pekerjaan pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 29% berbanding 2020.

“Ia disumbangkan oleh peningkatan bilangan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) yang aktif di Malaysia iaitu daripada 656 pada 2012 kepada 1,410 pada 2023,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara 2024, semalam.

Selain itu, Sim berkata pihaknya juga beriltizam untuk memastikan semua pekerja dapat berkhidmat dalam keadaan selamat dan dapat menuntut hak mereka yang sewajarnya.

“Iltizam kita ialah untuk memastikan pekerja di Malaysia bekerja dalam keadaan terhormat dan mendapat pampasan yang bermaruah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.