Stor farmasi Hospital Papar terbakar, pesakit ditempat di khemah

Stor farmasi Hospital Papar terbakar, pesakit ditempat di khemah

Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali, berkata keperluan seperti makanan dan minuman untuk kakitangan serta pesakit turut disediakan.

Stor farmasi Hospital Papar dilaporkan terbakar, manakala bilik makmal kajian terkena bahangan api kira-kira 7 malam tadi.
PETALING JAYA:
Khemah sementara didirikan bagi menempatkan pesakit dan kakitangan terkesan dalam kebakaran di Hospital Papar malam tadi.

Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali, berkata keperluan seperti makanan dan minuman untuk kakitangan serta pesakit turut disediakan.

Selepas menerima maklumat kebakaran itu sekitar 7.10 malam Isnin, katanya, beliau segera mengarahkan kakitangannya di Pejabat Parlimen Papar turun padang membantu mangsa.

Beliau yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata, pasukan bomba berjaya memadamkan api pada 11 malam tadi.

“Punca kebakaran akan disiasat dan diteliti. Syukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan pesakit terkesan juga sudah dipindahkan ke wad lain,” katanya menurut Sinar Harian.

Disebabkan dapur penyediaan makanan hospital turut terjejas dalam kebakaran itu, beliau berkata, Pejabat Parlimen Papar akan membantu membekalkan makanan dan minuman buat sementara sehingga pihak hospital dapat menyediakan makanan melalui pembekal luar kepada pesakit.

Terdahulu, media melaporkan stor farmasi Hospital Papar hangus terbakar, manakala bilik makmal kajian terkena bahangan api kira-kira 7 malam tadi.

Menurut laporan, 14 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Papar yang dibantu BBP Kimanis bergegas ke lokasi kebakaran sejauh 4km untuk memadamkan kebakaran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.