Segera umum pendirian, henti hidup ‘dua alam’, PN beritahu SAPP

Segera umum pendirian, henti hidup ‘dua alam’, PN beritahu SAPP

Ronald Kiandee berkata SAPP secara rasmi masih dalam PN walaupun pada masa sama menganggotai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ronald Kiandee turut menolak kenyataan Yong Teck Lee supaya PN tidak bertanding pada PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) meminta Parti Maju Sabah (SAPP) tidak menjadi ‘amfibia politik’, sambil memintanya segera menyatakan pendirian berhubung kedudukan dan kerjasama menjelang PRN Sabah.

Ketua PN Sabah Ronald Kiandee berkata SAPP yang diketuai Yong Teck Lee secara rasminya masih berada dalam gabungan terbabit walaupun pada masa sama mereka turut menganggotai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Tiba masanya SAPP berhenti menjadi amfibia politik (yang hidup dua alam).

“Mereka harus tentukan kedudukan sebenar mereka,” kata naib presiden Bersatu itu kepada FMT.

Sabtu lalu, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun menggesa SAPP memilih antara dua gabungan terbabit dengan mengatakan bahawa parti itu tidak boleh berada dalam kedua-duanya serentak.

SAPP menyertai PN pada Ogos 2020, beberapa bulan selepas gabungan itu dibentuk secara rasmi oleh PAS dan Bersatu.

Rakan komponen GRS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), juga merupakan komponen PN namun meninggalkan gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin itu pada Dis 2022 selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun Yong menolak desakan itu sambil menjelaskan perkara itu sedang ditangani dengan baik untuk mencapai kesimpulan inklusif pada masa betul.

Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran turut membidas SAPP kerana sering mengeluarkan kenyataan bertentangan pendirian PN, termasuk gesaan supaya komponen itu tidak bertanding PRN Sabah.

“Bersatu walaupun bukan parti tempatan, lebih bermaruah dari amfibia politik yang hidup dalam dua alam.

“PN akan bertanding di Sabah menggunakan logo PN dan SAPP tidak boleh menghalangnya,” katanya sambil yakin rakyat negeri itu matang dalam menilai kemampuan sesebuah parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.